PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU
PIALA PERDANA MENTERI 2012
29 Feb - 15 Mac 2012
PICC Putrajaya, Malaysia

+ Kata - Kata Aluan Dari Y.A.B Perdana Menteri

Najib PABM


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan rahmat dan rahim-Nya kita berjaya menganjurkan edisi ke-5 PABM. Tahniah dan syabas kepada Kementerian Pengajian Tinggi serta semua pihak yang telah bersama-sama berganding bahu menjayakan acara tahunan ini bagi memperkasa bahasa Melayu bukan sahaja di dalam negara tetapi merentasi sempadan budaya ke seantero dunia.

PABM adalah satu bentuk transfomasi dalam pengantarabangsaan bahasa Melayu. Selang lima tahun pertandingan ini diadakan, kita telah lihat peratusan tawaran pengajian bahasa Melayu telah meningkat dengan ketara di gedung-gedung ilmu di serata dunia. PABM edisi ini disertai oleh peserta yang datangnya dari enam benua, sebagai bukti bahasa Melayu telah melata di segenap penjuru dunia.

Ia juga satu bentuk kesinambungan usaha kerajaan untuk menjana keutuhan bahasa Melayu agar ia bukan sahaja berupaya bergerak seiringan dengan persekitaran semasa malah signifikan dengan perubahan arus globalisasi. PABM mencerminkan iltizam, cita-cita dan hasrat kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia untuk terus melihat bahasa Melayu berkembang di kalangan bukan penutur aslinya.

Sebagai rakyat Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus merasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu ampuh mencorak ritmanya yang tersendiri dan semakin mekar di persada dunia. Keadaan ini tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia kerana ada bahasa yang lenyap di telan arus gobalisasi manakala sebahagian yang lain pula semakin hanyut dibadai gelombang arus perubahan zaman.

Bila menyentuh soal kegemilangan lampau, kita akan mengimbau puluhan bahasa yang pernah menjadi lingua franca perdagangan di dunia suatu masa lalu, namun hari ini ada yang tidak lagi mampu mempertahankan bahasa mereka dalam gelora arus perdana.

Syukur Alhamdulillah, perkara ini tidak berlaku kepada bahasa Melayu kerana rumpun Melayu yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam selaku pendukung utamanya mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu menarik masyarakat dunia belajar akan bahasa dan budaya kita. Legitimasi ini membuatkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang cukup berpengaruh, sebagai bahasa kelima terpenting dalam landskap pembangunan arus dunia.

Sejarah membuktikan keutuhan bahasa Melayu mampu bertahan sejak dari kurun ke-7 lagi. Mungkin ada pasang surutnya, namun secara umum bahasa Melayu berupaya berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa perdana lain. Meskipun bahasa Melayu tidak sepenting bahasa Inggeris, tetapi ia dapat mengekalkan kegemilangannya sebaris bahasa Arab, Perancis dan Mandarin dalam urusan perdagangan dan geopolitik.

Oleh itu, kerajaan memberi jaminan bahawa bahasa Melayu akan tetap dipertahankan walau dalam apa cara sekalipun, selaras dengan Perkara 152 perlembangaan negara. Percayalah bahawa kerajaan tidak akan sekali-kali meminggirkan bahasa Melayu, malah kerajaan tetap komited untuk terus mengembangkan kepentingan dan penguasaan bahasa Melayu bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa.

Bagi mempertahankan martabat bahasa Melayu, kita perlu ada kekuatan ekonomi dan politik yang teguh di dalam negara dan di segenap penjuru dunia. Inilah cara yang akan memastikan bahasa Melayu terus kekal subur, walaupun tatkala kita sudah memasuki era negara maju kelak.

Justeru, suka saya mengatakan bahawa inisiatif menganjurkan pertandingan ini merupakan komitmen kerajaan untuk mempromosikan bahasa kebangsaan dalam bidang pengucapan awam demi memartabatkan bahasa Melayu ke persada dunia.

Harapan saya, PABM akan terus menjadi pentas yang penting dalam mencungkil kebolehan dan kemahiran penutur bukan Melayu dalam melontarkan idea pemikiran yang kritis dalam bahasa Melayu serta bersulamkan budaya Melayu.

Selamat bertanding.

najib's signature

Y.A.B DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK
Perdana Menteri Malaysia

+ Kata - Kata Aluan Dari Menteri Pengajian Tinggi

Kata Alu - Aluan Dari YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin,

Menteri Pengajian Tinggi


Khaled Nordin PABM


Assalamulaikum w.b.t. dan Salam 1 Malaysia

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang kepada saya merakamkan sepatah dua kata di dalam buku program sempena Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri. Tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas kejayaan menganjurkan pertandingan ini bersama Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan Malaysia.

Kementerian mengalu-alukan pertandingan ini kerana selain mencungkil bakat daripada kalangan pemidato yang bertanding, pertandingan ini juga menjadi medium untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Oleh yang demikian, pertandingan ini telah diiktiraf sebagai acara penting dalam kalendar tahunan Kementerain.

Ia satu inisiatif penting bagi memartabatkan lagi bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Usaha ini harus dijalankan secara berterusan memandangkan bahasa Melayu semakin diterima sebagai antara bahasa penting dunia yang menjadi pertuturan ratusan juta masyarakat sejagat. Kemampuan bahasa Melayu bukan sahaja memonopoli bidang sastera, sejarah atau agama sahaja, malah melingkari pasaran ekonomi, komunikasi, sains dan teknologi.

Jalinan usahasama antara Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan pihak swasta ini turut membayangkan betapa utuhnya rasa cinta dan saying kita terhadap bahasa Melayu. Ia turut mempertontonkan kepada rakyat Malaysia betapa bahasa Melayu telah diterima pakai di seantero dunia. Program ini menjadi bukti bahawa kerajaan selama ini tidak berdiam diri dalam memperkasa bahasa Melayu kepada masyarakat sejagat. Kerajaan, selepas era pasca kolonial, telah memberikan status perdana kepada bahasa Melayu dan akan terus mempertahankannya sebagai bahasa rasmi, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu.

Untuk memastikan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa antarabangsa, ia perlu mudah, dinamik dan berkesan. Ia perlu mampu menampung istilah-istilah baru sesuai dengan perubahan global. Pakar-pakar bahasa Melayu juga perlu kreatif dan fleksibel.

Saya berharap pertandingan ini bukan sahaja dapat menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Melayu melalui kepetahan berpidato, malah membuktikan betapa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pilihan untuk dipelajari oleh pengguna bahasa-bahasa lain.

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan berharap pertandingan ini dapat mencapai matlamatnya. Kepada semua peserta, saya mengucapkan selamat bertanding.

Wassalam.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Menteri Pengajian Tinggi

+ ETOS

Pengenalan

batu bersurat PABM

Ssejarah peradaban bangsa dan manusia memperlihatkan betapa kekuatan sebuah tamadun dan kelangsungan tamadun itu amat berkait rapat dengan keupayaan bahasanya. Kekuatan dan kelangsungan yang serupa juga terpancar dalam sejarah kebudayaan dan perkembangan bahasa Melayu. Kekuatan dan fundamental yang dominan demikian juga patut terus dimiliki oleh bahasa Melayu, khususnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia, dan juga sebagai bahasa yang diaspirasikan untuk menjadi salah satu bahasa yang semakin terserlah penggunaannya dalam acara signifikan pada peringkat dunia, terutamanya dalam wacana dan arena politik antarabangsa – misalnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rasionalnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk lebih menyerlahkan kewujudan umat Melayu dari suatu rantau rumpun bangsa serta negara yang bernama Malaysia.

Tentu saja boleh dipersoalkan – apakah yang penting sangat dengan menaikkan taraf dan status bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang seganding dengan bahsa Inggeris, Perancis, Jerman, Mandarin dan Arab dalam acara-acara utama bertaraf antarabangsa seperti persidangan Pertubuhan Negara-negara Tenggara (ASEAN), PBB dan sebagainya? Jawapannya mudah saja, bahasa tidak harus dilihat sebagai bahasa per se, bagaimanapun, ia harus dilihat dalam hubung kaitnya dengan politik bahasa dan politik budaya. Memanglah suatu bangsa itu akan lebih mudah dikenali dan dihormati kalau bangsa dan negara itu serba maju sari segi ekonomi, sains dan teknologi atau pendidikan warganya. Walau bagaimanapun, bahasa dan persuratan merupakan elemen dominan dalam perkembangan dan permerkasan bangsa dan negara bangsa.

Tentu sahaja kita boleh berbangga dengan pencapaian yang kita kecapi dalam perancangan bahasa Melayu, yakni yang melibatkan perancangan taraf dan perancangan korpus bahasa di negara kita – kita sesungguhnya sudah menciptakan kejayaan yang cemerlang, kendatipun usaha pembinaan perlaksanaan dan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negra baharu sahaja mencecah usia 50 tahun ketimbangan bahasa Inggeris yang sudah bertapak sejak sekian lama sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

Di Malaysia, apa saja hal yang berkaitan dengan soal intergriti, status dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara harus dilihat dalam konteks kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh semua kaum di negara ini suatu ikrar setia sejak awal lagi sebelum merdeka dan terlepas daripada belenggu penjajahan Inggeris. Tentu amat wajar semua rakyat Malaysia yang dikanunkan dalam perlembagaan negara sebagai suatu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita perlu bangga dan megah sebagai bangsa Malaysia yang memiliki suatu bahasa yang kuat dan ternama.

Program pengantarabangaan bahasa Melayu mengikut kemampuan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam tempoh menjelang 2020 akan mencakupi usaha pemasaran bahasa dan penyebaran maklumat bahasa persuratan Melayu ke seluruh dunia pada dua peringkat, iaitu peringkat Institusi Pengajian Tinggi di kawasan Asia Tenggara (dalam lingkungan Negara-negara ASEAN) dan peringkat Pusat Pengajian Bahasa dan Persuratan Melayu antarabangsa yang lain.

Dalam hubungan ini, kita harus melihat potensi bahasa dan persuratan Melayu berkembang sebagai ilmu yang diajarkan dan dipelajari di pusat-pusat pengajian tinggi dan kajian di pusat-pusat penyelidikan dan pendokumentasian yang utama diseluruh dunia, bukan sekadar kepentingan akademik semata-mata. Rantau berbahasa Melayu harus bersiap siaga menyediakan bantuan dalam apa jua bentuk sumber kepakaran, penyelidikan, kepakaran, dorongan kepada tenaga pensyarah dan pelajar antara Malaysia dengan pihak-pihak di luar negara itu, pertukaran maklumat bahasa, sastera, seni dan budaya Melayu dapat dilakukan melalui talian Internet di peringkat antarabangsa.

Sumber:
Dato’ Haji Aziz Deraman, Pengantarabangsan Bahasa Melayu,
Dewan Bahasa dan Pustaka & Persatuan Linguistik Malaysia, 2004

+ Program Inap Desa


PENAMBAHBAIKAN dalam penganjuran pertandingan PABM yang dilakukan pada setiap tahun mula menampakkan hasil. Tahun lalu, buat pertama kalinya sejak penganjuran pertama pada tahun 2007, para peserta akan dibawa ke Homestay Agrotourism Sungai Rambai, Melaka untuk tinggal bersama keluarga angkat selama empat hari iaitu dari 6 hingga 9 Mac 2010.

Menerusi program inap desa atau homestay itu, sebanyak 56 peserta dari 51 buah negara berpeluang mengenali lebih dekat budaya dan cara hidup masyarakat Melayu. Dengan itu, ia secara tidak langsung akan meningkatkan kefahaman mereka terhadap budaya masyarakat Melayu yang selama ini hanya diketahui melalui pembacaan dan media elektronik di negara masing-masing.

Keseluruhan program menjadi lebih berkesan kerana peserta dapat merasai sendiri pengalaman hidup bersama keluarga Melayu. Pengalaman ini mampu memperkayakan pengetahuan peserta tentang budaya hidup masyarakat Melayu terutama dalam aspek kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, budaya dan ekonomi.

Antara aktiviti yang telah disusun untuk para peserta sepanjang program inap desa ini adalah lawatan ke ladang sawit dan kilang sawit, ladang getah dan kolam menternak ikan; menyaksikan demonstrasi kraftangan, mencanting batik, membuat kuih tradisional Melayu, ketupat dan lemang. Para peserta juga akan diperkenalkan dan mencuba permainan tradisional Melayu seperti gasing, congkak, batu seremban, sepak raga bulat, konda-kondi dan guli. Ternyata kesannya lebih besar dan bermanfaat daripada sekadar membawa mereka melawat kawasan bandar raya yang mana mereka telah biasa melihat 'hutan batu' di negara masing-masing.

Pada pertandingan tahun ini, para peserta akan melalui pengalaman bercampur iaitu merasai kehidupan di kota besar Kuala Lumpur dan kawasan kampung di luar bandar khususnya kawasan Felda. Ia akan lebih diingati terutama dalam aspek cara hidup masyarakat Melayu di Felda. Selama ini mereka hanya mendengar tentang kejayaan sebuah organisasi menaiktaraf kehidupan masyarakat daripada daif kepada kehidupan yang lebih berjaya dan terjamin. Program inap desa di Felda pada tahun ini dijangka dapat memberikan peluang secara langsung kepada para peserta ini melihat sendiri kejayaan Felda sebagai sebuah organisasi membela nasib rakyat yang berjaya di dunia.

+ Kejayaan Penganjuran

Kejayaan Penganjuran PABM

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri Kali Pertama telah dilangsungkan dengan jayanya pada 12 – 16 Mac 2007. Pertandingan Pidato Bahasa Melayu peringkat dunia yang buat pertama diadakan itu telah mempertemukan seramai 23 orang peserta dari 23 buah negara yang mencakupi 6 buah benua. Penganjuran pertandingan ini telah mendapat pujian, pengiktirafan, ucapan penghargaan dan tahniah dari pelbagai lapisan masyarakat; pakar-pakar bahasa, pencinta-pencinta bahasa, ahli akademik, tokoh-tokoh korporat dan rakyat Malaysia, bahkan pemimpin-pemimpin pembangkang dan lidah-lidah rasmi mereka juga memberikan pujian dan ucapan tahniah. Parlimen Malaysia juga telah membuat satu usul ucapan tahniah dan penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang berjaya menganjurkan satu-satunya pertandingan pidato bahasa Melayu di peringkat dunia ini.

Pertandingan ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri apabila ia memberikan petunjuk yang jelas bahawa orang bukan Melayu serta rakyat negara asing mampu menguasai bahasa Melayu apabila peserta dari negara Russia, Olga Vadimovna Vasilevskaya membuat kejutan muncul sebagai juara. Tempat kedua dirangkul oleh peserta dari Malaysia manakala tempat ketiga jatuh kepada peserta dari Korea Selatan.

Pada tahun 2008, pertandingan ini mula dikenali sebagai PABM 2008 bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”. Ia berjaya menarik penyertaan lebih sekali ganda dengan disertai oleh 40 orang peserta daripada 35 buah negara. Melihatkan perkembangan penyertaan yang begitu luar biasa, Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet Mingguannya telah mengambil ketetapan agar PABM 2008 di bahagikan kepada dua kategori iaitu, Kategori Antarabangsa dan Nusantara. Kategori Antarabangsa diungguli oleh peserta cacat penglihatan dari Australia manakala naib johan dibolot oleh peserta China dan peserta dari Russia di tempat ketiga. Peserta dari Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam berjaya meyakinkan pihak juri untuk muncul sebagai johan, naib johan dan tempat ketiga bagi kategori Nusantara. Masing-masing pemenang membawa pulang USD3000, USD2000 dan USD1000 bagi setiap kategori.

Pertandingan pidato ini membuktikan keupayaan bahasa Melayu untuk pergi jauh ke peringkat global. Bahasa Melayu telah diterima baik di kebanyakan negara dan perihal ini menggambarkan bahawa bahasa Melayu boleh memainkan peranan yang penting dalam pembangunan tamadun saintifik dan prolifik di peringkat antarabangsa. Pertandingan pidato ini juga memberi petunjuk yang jelas bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa yang boleh diperkecilkan peranan dan pengaruhnya. Pada hari ini, di seluruh dunia, terdapat 129 buah pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus pengajian bahasa Melayu, merangkumi 40 buah negara - dari Amerika Syarikat merentasi kesemua tujuh benua menganjur ke negara New Zealand.

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri kali pertama ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan. Peringkat saringan telah diadakan di Universiti Putra Malaysia dan Acara Kemuncak peringkat akhir telah diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra dengan disaksikan oleh 2500 orang penonton serta disiarkan secara langsung di RTM1 dengan mendapat ehsan dan kerjasama daripada Kementerian Penerangan.

Penganjuran pertandingan pidato antarabangsa bahasa Melayu ini dilihat sebagai salah satu usaha memartabatkan pengaruh dan kesejagatan bahasa Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa. Ia juga sebagai satu bentuk kesedaran dan perang psikologi kepada rakyat Malaysia bagi membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan bahasa kebangsaan, malah ia semakin diperkasa dan diperluaskan penggunaanya ke pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh dunia. Penganjuran pertandingan ini mampu ‘menutup mulut’ para pengkritik dasar kerajaan mengenai bahasa kebangsaan. Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang akan turut sama menyumbang ke arah kepesatan pengembangan tamadun bangsa.

Penganjuran pertandingan ini juga dilihat sebagai satu wadah kepada kesinambungan usaha kerajaan Malaysia ke arah penyatuan pelbagai bangsa dan budaya melalui aspek bahasa iaitu bahasa Melayu. Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri ini menggunakan konsep dan pendekatan yang hampir sama seperti penganjuran Tilawah Al-Quran.

Jemaah Menteri telah bersetuju agar Kementerian Pengajian Tinggi menjadikan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri ini sebagai acara tahun dan dimasukkan dalam kalendar perancanaan kementerian. Kabinet juga bersetuju agar pertandingan ini dianjurkan pada skala besar dengan melibatkan pihak kerajaan, badan korporat dan swasta khususnya media massa dalam memberikan promosi dan hebahan kepada khalayak sebagai satu cara membangkitkan rasa cinta rakyat Malaysia kepada bahasa Melayu/Bahasa Malaysia dengan menonjolkan betapa bahasa Melayu telah berkembang ke seluruh pelosok dunia.

Promosi dan hebahan massa ini juga dilaksanakan bagi mengambilkira impak dan kekuatan yang boleh diperolehi oleh kerajaan dalam membuktikan usaha kerajaan memperkembang dan memperkasakan bahasa Melayu di peringkat global telah membuahkan hasil. Pertandingan ini juga membuktikan wacana pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah menjadi nadi dan falsafah perjuangan sejak sebelum merdeka tetap diteruskan oleh kerajaan dan akan terus menjadi agenda penting dan dipertahankan fungsinya oleh kerajaan Barisan Nasional yang memerintah. Bahasa Melayu telah menjadi faktor pemersatu dalam usaha perpaduan kaum di Malaysia. Kini, sudah tiba masanya Malaysia menjadi kejayaan tersebut sebagai asas pemersatu kepada perpaduan bangsa dan peradaban dunia.

Penganjuran pertandingan pidato ini juga dilihat sebagai salah satu usaha merealisasikan matlamat penubuhan Majlis Antara- bangsa Bahasa Melayu (MABM) yang dipelopori oleh Malaysia dalam melaksanakan segala kegiatan yang menjurus kepada perkembang- an dan pembangunan bahasa di peringkat antarabangsa. Ia juga mampu membawa kepada kerjasama dengan pelbagai pihak luar khusus- nya pentadbir intitusi pengajian tinggi asing dan universiti ternama dunia dalam pembangunan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu serta mewujudkan lebih banyak Kursi Pengajian Melayu di universiti-universiti berkenaan.

Penganjuran pertandingan pidato ini juga akan dapat memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan di dalam sanubari pelajar- pelajar di peringkat sekolah serta IPT, malah dapat memberi peringatan dan kesedaran kepada mereka kepentingan memperjuangkan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan untuk sesebuah negara pelbagai kaum yang merdeka. Ia juga menjadi sesuatu yang unik dan menarik memperlihatkan bangsa asing mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan fasih selain melahirkan rasa hormat mereka kepada bahasa Melayu.

Penyertaan pertandingan ini hanya terbuka kepada para pelajar rakyat tempatan sesuatu negara tersebut yang mengikuti pengajian bahasa Melayu di satu-satu intitusi pengajian tinggi di negara mereka atau di luar negara. Misalnya Amerika Syarikat diwakili oleh rakyat Amerika Syarikat yang lahir, membesar dan mendapat pendidikan rendah dan menengah di negara tersebut dan seterusnya mengambil kursus pengajian bahasa Melayu di intitusi pengajian tinggi di negara tersebut. Begitu juga dengan lain negara seperti Jepun, China, Britain, Belanda, Jerman dan sebagainya.

Pada PABM 2008, penganjur telah menjemput para peserta dari 40 buah negara. Antara negara yang telah dikenalpasti untuk dijemput menyertai pertandingan ini seperti Amerika Syarikat, Kanada, Argentina, Brazil, Jepun, China, Korea Selatan, Australia, New Zealand, United Kingdom, Jerman, Belanda, Denmark, Perancis, Rusia, Kazakhstan, Ukraine, Georgia, Afrika Selatan, Mesir, Nigeria, Ghana, Madagascar, Sudan, Iran, Pakistan, India, Bangladesh, Sri Lanka, Vietnam, Kemboja, Filipina, Laos, Thailand, Myanmar, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Timor Laste dan tuan rumah, Malaysia.

Skop penyertaan pertandingan Pidato Kali Ke-3 tahun 2009 @ PABM 2009 ini akan terus dibahagikan kepada dua kategori iaitu, Kategori Antarabangsa dan Kategori Nusantara. Ia bertujuan bagi memberikan keadilan dan ruang yang lebih luas kepada peserta antarabangsa bersaing sesama mereka untuk dinobatkan sebagai juara. Kategori Nusantara akan menghimpunkan negara yang menghantar peserta yang bahasa ibundanya adalah bahasa Melayu. Negara tersebut adalah Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand dan Timor Laste. Bagi kategori Nusantara ini setiap negara akan diwakili oleh dua orang wakil.

PABM 2009 menyaksikan pertambahan penyertaan kepada 45 buah negara dengan penyertaan lima buah negara baru iaitu, Itali, Belarus, Republik Checkz, Palestin dan Armenia.

Kementerian Pengajian Tinggi telah mendapat pengiktirafan kerajaan dan Mesyuarat Kabinet sebagai satu pertandingan pidato bahasa Melayu peringkat antarabangsa yang mendapat status sebagai “Program Kebangsaan” memandangkan ia boleh memberikan impak dan keuntungan yang besar kepada kerajaan dan rakyat Malaysia khususnya dalam melahirkan keyakinan rakyat kepada keutuhan bahasa Melayu/bahasa Malaysia serta mempertontonkan kepada rakyat terhadap kejayaan usaha kerajaan memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu ke persada dunia.

Kementerian selaku penganjuran PABM Piala Timbalan Perdana Menteri telah berjaya memberikan impak kepada pembangunan bahasa Melayu peringkat global melalui penganjuran sulungnya pada tahun 2007. Pertandingan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan bagi memperkasakan bahasa Melayu ke persada dunia. Ia juga mampu menjadikan pertandingan ini sebagai satu medan perkampungan cendiakawan dan pengamal bahasa Melayu berhimpun bagi membincangkan pembangunan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Ia juga dilihat dapat meyakinkan pihak pentadbiran dan pengurusan universiti-universiti ternama dunia untuk mewujudkan lebih banyak Kursi Pengajian Melayu di pusat-pusat pengajian mereka. Pertandingan pidato ini juga dapat memupuk minat pelajar sekolah dan IPT tempatan kepada bidang pidato bahasa Melayu serta melahirkan pemidato daripada kalangan peserta berbangsa Melayu malah dari pelbagai bangsa. Ia jua menjadi wadah memberikan pengiktirafan bahawa kerajaan tetap dan terus memartabat dan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

+ Mengangkat Martabat Bahasa Melayu

Mengangkat Martabat Bahasa Melayu

PPenganjuran PABM menunjukkan kejayaan negara untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Ia membolehkan negara di luar Nusantara mengenali serta mempelajari bahasa yang sering digunakan oleh negara di Asia Tenggara.

Pendedahan melalui pertandingan itu secara tidak langsung dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu berserta budaya yang penuh dengan kesopanan. Bagi memastikan matlamat itu dicapai, rakyat Malaysia sebagai penutur bahasa Melayu asli di rantau ini perlu bekerjasama dalam meningkatkan usaha memperkasakan penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda terlebih dahulu.

Kerana itu, rakyat tidak perlu malu bercakap dalam bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan orang luar yang berkunjung ke negara bertuah ini.

Orang ramai juga tidak perlu segan silu menggunakannya apabila berurusan dalam perkara-perkara formal yang selalunya menggunakan Bahasa Inggeris. Ia bagi mengelakkan bahasa Melayu terus terpinggir dan ketinggalan dalam arus kemodenan.

Jika semua rakyat menghargai dan cintakan bahasa Melayu, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan bahasa itu malah menyerlahkan jati diri penutur asal untuk mengukuhkan penguasaan bahasa dan identiti bangsa. Secara tidak langsung, tindakan berani itu mampu mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa pengantara tetapi sebagai bahasa ilmu.

Hakikatnya, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menjadikan bahasa kelima terbesar di dunia ini terus dihormati sekali gus memastikan ia memberi sumbangan kepada kemajuan tamadun manusia. Ya, seperti mana sumbangan bahasa Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

+ Warga Asing Dan Bahasa Melayu

Warga Asing & Bahasa Melayu

M elihat anak-anak muda warga asing berpidato secara petah dan fasih dalam Bahasa Melayu, membuatkan perasaan Awang terharu Pertama kerana kebolehan mereka yang mencuri perhatian dan kedua, keyakinan yang ditunjukkan terhadap Bahasa Melayu. Sebab itu, Awang tidak merasa jemu menyaksikan aksi 56 peserta dari 51 negara yang menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 yang berakhir kelmarin. Kebanyakan peserta adalah dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur. Awang mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan PABM. Sejak diadakan pada 2007, pidato itu menerima sambutan hebat dari tahun ke tahun. PABM diideakan oleh Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pidato itu antara lain bertujuan memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Najib nampak jalan bagaimana Bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca suatu ketika dahulu sewaktu kegemilangan tamadun Melayu, boleh diangkat kembali ke persada dunia. Awang melihat komitmen Najib dalam menjaga kepentingan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan cukup tinggi walaupun beliau tidak pernah cakap berdegar-degar laksana pejuang bahasa. Banyak petunjuk lagi menampakkan kesungguhan Najib meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komersial. Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan di bawah kabinet beliau membuktikan hakikat tersebut. Dalam Najib berusaha meningkatkan kemampuan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing terutama Inggeris, beliau sesungguhnya telah membina landasan lebih baik untuk masa depan Bahasa Melayu.

Awang melihat usaha tersebut amat besar maknanya ketika banyak bangsa di dunia memperhebatkan survival bahasa mereka termasuk kaum-kaum lain di negara ini. Selain bahasa ibunda masing-masing, tulisan mereka juga terus diperkasakan.

Malah Awang kerap menghadiri majlis anjuran organisasi dan pihak bukan Melayu yang turut dihadiri menteri dan pemimpin serta hadirin semua kaum. Tanpa rasa teragak-agak, pihak-pihak berkenaan bercakap dalam bahasa ibunda sementara Bahasa Kebangsaan seperti tiada nilai. Untuk mengharapkan Bahasa Kebangsaan kita mendapat penghormatan tertinggi semua kaum sebagaimana yang dinikmati di Indonesia, terasa masih jauh.

Maka Awang tertarik dengan penganjuran PABM termasuk kejayaan peserta negara China, Zhang Song menjuarai kategori antarabangsa. Awang teruja dengan kebolehan dia dan peserta lain termasuk juara 2007 iaitu pelajar Rusia, Olga Vasilevskaya. Kefasihan mereka memberi harapan baru bahawa Bahasa Melayu mampu dilonjakkan.

Selepas memenangi pidato itu, Olga menyambung pengajian peringkat sarjana di negara ini. Kini penguasaan Bahasa Melayu beliau jauh lebih baik bagaikan seorang guru bahasa. Olga tidak menggunakan bahasa rojak sebagaimana dipertuturkan oleh majoriti rakyat kita termasuk orang Melayu.

Olga, Song dan para peserta PABM mengambil tempoh yang singkat untuk fasih. Sedihnya, ramai warga kita yang sehingga hari ini bukan sahaja tidak fasih dan berpelat tebal malah malu untuk bercakap dalam Bahasa Kebangsaan. Pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal misalnya mempunyai penguasaan Bahasa Kebangsaan lebih baik daripada sebahagian warganegara Malaysia. Agaknya pekerja asing peringkat bawahan lebih menghayati ungkapan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

(Awang Selamat, Mingguan Malaysia, 7 Mac 2010)

+ Tentang Felda

MAKLUMAT TENTANG FELDA

Data sedang dikemaskini.

Kembali ke atas