Ketahui Sejarah PABM dan segala informasi mengenai PABM

Bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” , Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri @ PABM adalah satu acara tahunan pidato Bahasa Melayu yang terulung yang bermatlamat untuk memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah bertindak sebagai Penaung dan akan hadir sebagai Perasmi Malam Kemuncak pertandingan ini pada setiap tahun. Program ini adalah hasil idea dan inovasi YAB Perdana Menteri sendiri untuk memperkasa bahasa Melayu di persada antarabangsa. Malam Kemuncak PABM disiarkan secara langsung di TV1, RTM dan melalui internet ke seluruh dunia di laman sesawang www.pabm.com.my.
PABM diideakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. PABM antara lain bertujuanmemperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Bermotifkan melahirkan rasa bangga dan yakin rakyat Malaysia terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang telah menyerantau ke seluruh pelosok dunia. Penyertaan kali ini memperlihatkan wakil negara yang mengambil bahagian telah meliputi semua enam benua.
Berbekalkan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan diperteguhkan melalui wadah 1Malaysia, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan dapat diperkukuhkan dan rantaian jalinan hubungan antara kaum dapat diperkukuhkan melalui aspek bahasa.
Secara sinikalnya, impak kejayaan PABM dapat dirangkumkan dalam empat konteks; impak dalam pembangunan sektor pengajian tinggi; kesedaran kepada kepentingan pendidikan bahasa Melayu; peningkatan ekonomi dan pengantarabangsaan; serta kejayaan PABM dari kaca mata golongan belia.



PABM dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Pelancongan manakala AG Bestari Events Sdn Bhd dilantik selaku pengurus acara dan bertindak sebagai Sekretariat PABM.
Kabinet Malaysia dalam mesyuaratnya pada tahun 2008 telah bersetuju untuk memberikan penarafan “Projek Nasional” kepada PABM bersesuaian dengan prestijnya sebagai satu-satunya acara pidato bahasa Melayu yang terulung di dunia.
Penaung & Perasmi
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia bertindak sebagai Penaung PABM serta akan hadir sebagai Perasmi Malam Kemuncak PABM pada setiap tahun.
Venue Program
Venue pertandingan PABM diadakan adalah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Acara saringan dan separuh akhir akan berlangsung di Dewan 6 manakala Malam Kemuncak akan diadakan di Dewan Plenari, PICC . Sepanjang program ini berjalan, peserta akan menginap di Hotel Residence @ UNITEN di Bangi, Selangor Darul Ehsan.
Kerajaan menyokong segala usaha dan iltizam yang dipelopori dalam merealisasikan jalinan hubungan bahasa dan kesusasteraan Melayu di peringkat antarabangsa sesuai dengan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang signifikan di dunia melalui pelbagai rangkaian kerjasama secara institusional dan rasmi. Kerajaan juga serius untuk memainkan peranan yang dominan di pentas dunia ke arah masa depan dunia yang lebih aman, harmoni dan sejahtera
Piala Pusingan ini berbentuk tiga belah keris yang tertusuk pada dasarnya dengan ulunya menjulang dunia sebagai simbolik keutuhan dan kekuatan bahasa dan bangsa Melayu dalam memperkembangkannya ke seluruh pelosok dunia.
Piala setinggi 22 inci dengan diameter 6 inci ini diperbuat sepenuhnya daripada perak.
Perak membawa maksud ketinggian dan kedaulatan bahasa Melayu yang menjadi wadah pembangunan tamadun nusantara. Ia juga membawa maksud kesucian, ketelusan dan keikhlasan akan peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam membawa kepada keamanan dan keharmonian geopolitik dan sosiobudaya sejagat.
Keris - Keris membawa maksud pertuanan dan citra Melayu. Dalam hal ini keris menunjukkan bahasa Melayu merupakan bahasa orang Melayu yang menunjukkan citra orang Melayu sejagat sejak zaman-berzaman.
Tiga belah keris - tiga bilah keris membawa maksud bahasa Melayu telah diperakui sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia oleh tiga kaum terbesar di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India. Mereka sama-sama mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu dalam membentuk bangsa Malaysia yang progresif, dinamik dan berwawasan. Ketiga-tiga kaum yang menunjangi negara Malaysia bersepakat untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia.
Keris tertusuk - membawa maksud orang Melayu selaku penutur dan pemilik bahasa Melayu sentiasa tunduk ke bumi dan tidak sesekali meninggi diri walaupun telah menempuh pelbagai kejayaan. Ia juga membawa maksud perihal jiwa orang Melayu itu yang tetap berpegang kepada peribahasa “di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung” dan “Ikut rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk”
Glob – mewakili dunia. Bahasa Melayu berhasrat menjadi salah satu pemain utama ke arah kesegatan yang lebih aman, selamat dan harmoni. Glob juga mewakili hasrat dan cita-cita Malaysia untuk untuk memperkembangkan bahasa Melayu ke segenap pelosok dunia. Glob ini juga menunjukkan rantau nusantara yang menjadi pusat perkembangan dan penyebaran bahasa Melayu ke seluruh dunia.

Diadakan pada 10 Mac 2011, jam 9.00 pagi – 1.00 petang di Dewan 6, PICC.
Pertandingan dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Nusantara dan Antarabangsa.
Kategori Nusantara
Dipertandingkan kepada Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand.
• Dua (2) orang dari setiap Negara
Kategori Antarabangsa
Disertai oleh lain-lain negara dari seluruh dunia.
• Satu (1) peserta sahaja dari setiap negara
Am
Tafsiran
Syarat - syarat Penyertaan
Sistem Pertandingan
Kaedah Pertandingan
Etika Pertandingan
Masa Persediaan
Tatacara Pemarkahan
Keputusan
Jawatankuasa Pertandingan dan Teknikal Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2012.
Peserta
Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini menjemput dan menampilkan para peserta yang berlainan bangsa, budaya, bahasa dan latar belakang untuk berpidato di dalam bahasa Melayu. Ringkasnya, pertandingan ini adalah mirip Tilawah Al Quran yang menjemput para peserta dari pelbagai negara dan bahasa, cuma dalam konteks ini mereka berpidato.
Para peserta jemputan terdiri daripada para pelajar institusi pengajian tinggi yang menuntut di fakulti atau Institut Pengajian Bahasa Melayu atau Pengajian Asia Timur yang megambil pengkhususan dalam jurusan bahasa Melayu. Para peserta mestilah merupakan anak kelahiran dan juga penduduk tetap sesebuah negara yang mengambil kursus pengajian bahasa Melayu, umpamanya Amerika Syarikat hanya akan diwakili oleh pelajar yang merupakan rakyat negaranya sahaja.
Penyertaan
Pertandingan edisi ke-5 ini telah berjaya menarik penyertaan 61 orang peserta dari 56 buah negara; antaranya wakil dari Amerika Syarikat, Kanada, England, Jerman, Itali, Perancis, Belanda, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Jepun, Korea Selatan, China, negara-negara bekas jajahan Soviet, negara-negara Eropah Timur serta negara-negara Asia Tenggara sebagai simbolik bahawa bahasa Melayu kini telah berkembang ke semua enam buah benua.
Edisi keempat PABM 2010 tahun lalu telah melabuhkan tirainya dengan meninggalkan satu kejayaan yang amat memberangsangkan. PABM 2010 telah mencipta satu sejarah buat Malaysia dengan menerima penyertaan paling tinggi iaitu 56 peserta dari 51 buah negara; satu kejayaan yang amat besar berbanding PABM pertama pada tahun 2008 dengan penyertaan dari 34 buah negara dan sebelumnya pada 2007 dengan hanya penyertaan daripada 23 buah negara. Ini telah melayakkan PABM mencipta rekod kebangsaan dalam Malaysia Book of Records sebagai “Penyertaan Peserta Antarabangsa Terbanyak” bagi satu-satu pertandingan pidato berbahasa Melayu.
Panel Juri
Pemarkahan
Selain Piala Pusingan, Johan, Naib Johan, Tempat Ketiga dan semua peserta yang menyertai pertandingan ini akan menerima hadiah sebagaimana yang tertera seperti di bawah:-
Johan (setiap kategori)
• Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri
• Piala iringan
• Wang tunai USD5000
• Hadiah iringan dan sijil
Naib Johan
• Piala iringan
• Wang tunai USD3000
• Hadiah iringan dan sijil
Tempat Ketiga
• Piala iringan
• Wang tunai USD2000
• Hadiah iringan dan sijil
Saguhati
• -semua peserta yang bertanding akan menerima sebuah plag, wang tunai RM1000, hadiah cenderamata dan sijil.
Sejak merdeka, kejayaan Malaysia dalam membangunkan negara menjadi perhatian seluruh dunia dan seringkali dijadikan contoh dan modul dalam pelbagai penganjuran forum-forum pembangunan serantau sejagat, persidangan negara-negara Dunia Ketiga serta sejak kebelakangan ini oleh negara-negara maju dan badan-badan dunia.
Keupayaan dan kejayaan pengurusan cekap kerajaan Malaysia ini boleh dijadikan medium untuk menjadi tenaga pengerak ke arah penyatuan bahasa Melayu yang kini diajar dan dikaji di pelbagai pusat pengajian tinggi di seluruh dunia.
Bahasa Melayu sebagai asas bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia sudah wajar untuk diletakkan sebagai bahasa
ekonomi, bahasa komunikasi dan bahasa teknologi. Perlaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan penggunaannya di negara ini tidak perlu dipertikaikan kewibawaannya.
Meskipun sejak kebelakangan ini Bahasa Inggeris digalakkan dalam institusi pendidikan, Bahasa Melayu sebagai teras perjuangan dan pembangunan identiti bangsa Malaysia akan terus dimantap dan diperkukuhkan, malah diperluaskan ke seluruh pelusuk dunia.
Malaysia telah membuktikan bahawa penganjuran pertandingan seperti Tilawah Al-Quran dapat menjadi medium untuk menyatukan pelbagai bangsa dan budaya menerusi pengamatan kepada agama, kini penganjuran pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini pula diharapkan dapat menjadi wadah kepada kesinambungan usaha penyatuan pelbagai bangsa dan budaya melalui aspek bahasa pula.
Utama | Tentang PABM | Peserta | Terkini | Aktiviti | Galeri | Hubungi Kami