|
Putrajaya 6 Mac - Peserta
Kemboja, Novavy Sleh muncul juara kategori antarabangsa Pertandingan Pidato
Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM 2009) di
sini malam tadi.
Naib juara dimenangi peserta Australia, Ayleen O'Hanlon manakala Shavira
Alaydrus dari Belanda menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Nusantara, peserta Malaysia, Mohd Syamsul Salleh diumumkan
juara diikuti Margaretha Chrisnasari (Indonesia) dab Kamarudzaman Abdul
Jalil (Brunei).
Juara bagi kedua-dua kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan
dan wang tunai AS$3,000 (RM10,983.00).
Naib juara pula menerima piala iringan dan AS$2,000 (RM7,322).
Tempat ketiga memperoleh piala iringan dan AS$1,000 (RM3,661).
Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan
isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Seramai lima peserta bagi kategori antarabangsa dan tiga untuk kategori
nusantara berentap di peringkat akhir PABM yang disiarkan langsung oleh
Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Internet.
Peserta bagi kategori antarabangsa mewakili Australia, Kemboja, China, Rusia
dan Belanda manakala kategori Nusantara pula adalah Malaysia, Brunei dan
Indonesia.
Pertandingan yang bermula 1 Mac lalu itu berjaya menampilkan seramai 44
peserta iaitu 34 bagi kategori Antarabangsa dan 10 untuk kategori Nusantara.
-Petikan daripada Utusan Malaysia, Sabtu, 7 Mac 2009 |
|