|
Bismillahirrahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat
sejahtera
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana
dengan rahmat dan rahim-Nya, sekali lagi Pertandingan
Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana
Menteri (PABM) dapat diadakan. Setinggi-tinggi tahniah
dan syabas diucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi
atas daya usaha menganjurkan program ini secara tahunan.
Sesungguhnya penganjuran pertandingan berprestij ini
mencerminkan iltizam, hasrat dan cita-cita kerajaan
serta rakyat untuk terus melihat
bahasa Melayu terus berkembang di kalangan bukan penutur
aslinya.
Memang benar bahasa Melayu pernah menjadi lingua
franca perdagangan di dunia sebelah timur. Kekuatan
empayar-empayar kepulauan Melayu sebagai pusat
perdagangan telah meletakkan bahasa Melayu sebagai satu
bahasa yang cukup berpengaruh.
Namun sejarah semakin jauh meninggalkan kita. Realiti
hari ini, kekuatan bahasa Melayu tidak lagi sama dengan
kedudukannya pada kurun ke-7. Hari ini ramai yang
mengganggap bahasa Melayu tidak lagi sepenting bahasa
Inggeris, Arab, Perancis dan Mandarin dalam urusan
perdagangan dan politik global.
Meskipun begitu, kerajaan tetap komited untuk terus mengembangkan
kepentingan dan penguasaan bahasa Melayu bukan sahaja di negara ini
malah di peringkat antarabangsa.
Buktinya pada tahun 1997, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan
sebuah badan yang disebut Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu atau MABM
untuk menyelaraskan kegiatan dan program pengajian bahasa Melayu di
peringkat antarabangsa sekali gus menggalakkan pengajian bahasa Melayu
sebagai bahasa asing di luar negara.
Untuk kembali memartabatkan bahasa Melayu kita turut memerlukan kekuatan
ekonomi dan politik yang bersifat glokal, iaitu pengaruh dan kekuatannya
bersifat global tetapi akarnya masih berteraskan lokal. Akar yang
lokal inilah yang akan memastikan bahasa Melayu terus kekal
subur, biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran getir.
Kerajaan juga, menumpukan perhatian terhadap usaha pengembangan bahasa
Melayu melalui bidang akademik di universiti-universiti ternama seluruh
dunia. Sama ada ia berupa pengajian Melayu atau
pengajian bahasa Melayu, ia tetap akan menyumbang kepada perkembangan
dan pertambahan penutur bahasa Melayu.
Sehingga hari ini terdapat 129 buah pusat pengajian tinggi yang
menawarkan pengajian bahasa Melayu merentasi benua Amerika menganjur ke
Asia Timur Jauh hingga ke Australia dan New Zealand. Ia sudah tentu akan
menjadikan bahasa kita sebagai satu unsur kebudayaan dan tamadun yang
penting.
Dari segi rakyat pula, peranan mereka sama ada secara langsung atau
tidak, turut penting untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa ini yang
kini telah ditutur oleh hampir 300 juta penduduk dunia.
Semoga pertandingan ini akan menjadi satu landasan penting untuk kita
berkongsi ilmu dan kepakaran dalam bidang pengucapan awam demi
memartabatkan lagi bahasa Melayu di samping menajamkan lagi kemahiran
peserta dalam melontarkan idea dan pandangan.
Selamat Bertanding.
DATO’ SRI MOHD NAJIB
TUN RAZAK
|